Monday, December 31, 2007

Memetik Cherry di Kaituna Valley

Suasana Meriah Di Ladang Cherry........Kaituna Valley

Adik Zana juga tidak mahu ketinggalan memetik Cherry....

Aiman & Hana sedang asyik memetik Cherry....

Aktiviti santai di hujung minggu seperti memetik Cherry di Kaituna Valley merupakan aktiviti keluarga yang begitu menyeronokkan....terutama bagi anak-anak yang pertama kali menimba pengalaman memetik buah cherry.
Kebetulan pada hari itu seramai sepuluh keluarga dari Malaysia telah turat serta menghabiskan masa hujung minggu di Ladang Cherry di Kaituna Valley. Terasa macam kat Malaysia pulak...kerana setiap baris pokok Cherry di penuhi oleh rakyat Malaysia.
Bayaran masuk $3.00 NZ seorang ( tiada had masa )...dan anda boleh makan sepuas-puasnya buah cherry... dan jika anda mahu bawa pulang, anda perlu membayar $8.00 NZ sekilo. Harga buah Cherry di jual $18.00 NZ sekilo di pasar raya.
Ini bermakna....memang berbaloi jika anda pergi memetik sendiri buah cherry sambil makan sepuas-puasnya .....buah cherry di ladang. Jika anda mengunjungi New Zealand musim summer jangan lupa mengunjungi ladang cherry di Kaituna Valley yang terletak 40km dari Bandar Christchurch.

Halim
Lincoln
31 December 2007

Saturday, December 15, 2007

Lambaian AKAROA


Farzana " On Top of The Hill "
"Menikmati Permandangan Menarik di Akaroa Harbour di Hilltop"


Kali ini saya berpeluang mengunjungi Bandar Pelabuhan Akaroa yang terkenal dengan keindahan teluk yang terbentuk dari letusan gunung berapi beribu tahun yang lalu.

Keindahan semulajadi landskap di sekeliling teluk ini menjadi salah satu daya tarikan pelancong. Akaroa terletak 80 km dari Bandar Christchurch dan perjalanan mengambil masa 1 jam 30 minit.

Perjalanan dari Christchurh ke Akaroa akan melalui Montukarara, Tasik Ellesmere, Little River sehingga sampai di Hilltop. Pemandangan menarik dari Hilltop menceritakan tentang keindahan Bandar Akaroa yang mempunyai sejarah yang tersendiri , Akaroa is "the oldest colonial town in the South Island".

Sebenarnya kunjungan ke Akaroa bersama rakan dari Malaysia adalah sesuatu yang tak di rancang. Pada mulanya kami bercadang untuk menghabiskan masa hujung minggu bersama keluarga untuk memetik strawbery di Berry Farm. Malangnya ladang tersebut ditutup sementara waktu....

Kami pun menukar plan ke Akaroa..... Nasib baik kami ada membawa sedikit makanan, sampai di sana kami berkelah di Akaroa Harbour. Bila dah nampak pantai anak-anak pun teringin nak mandi laut....akhirnya aktiviti nak petik buah strawbery dah bertukar menjadi aktiviti rehlah dan mandi manda di Akaroa Harbour.

Kita hanya mampu merancang.......dan dalam kita sibuk merancang....perkara yang tak dirancang ada juga manisnya.....

Halim
15 Dec 2007
Lincoln

Saturday, December 8, 2007

Toy Library



"Aiman sedang berlatih bermain golf yang di pinjam dari Toy Library, sambil di perhatikan oleh adik zana dengan keretanya, angah hana dengan basikalnya dan along izzah dengan traktornya juga mainan dari Toy Library."


Toy Library sama lah fungsinya seperti Book Library , cuma bezanya di toy library anda meminjam mainan bukannya buku. Di Toy Library anda boleh meminjam alat mainan untuk anak-anak yang berumur 3 bulan hinggalah yang berumur 10 tahun.

Toy Library di buka setiap hari Sabtu ( pukul 9.00am - 12.00pm ) untuk membolehkan ibubapa meminjam barang mainan untuk anak-anak mereka. Barang mainan ini boleh di pinjam selama 2 minggu dengar kadar bayaran $1.50 - $2.50 bagi setiap mainan mengikut saiz mainan tersebut.

Ianya sangat praktikal kerana kebiasaanya anak-anak cepat jemu dengan alat mainan yang sama. Dengan adanya Toy Library anda tidak perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk membeli alat mainan. Di samping itu anda tak pening kepala untuk menyimpan alat mainan di rumah.

Anak-anak pun gembira kerana mereka boleh memilih barang permainan yang mereka gemari dan menukar barang mainan setiap 2 minggu sekali. Setiap ibubapa perlu berkhidmat di Toy Library sekurang-kurangnya sekali.

Baru-baru ini, tiba giliran saya bertugas untuk menguruskan urusan pemulangan dan peminjaman alat mainan.Ini pengalaman pertama bekerja secara sukarela di Toy Library. Jika anda bertugas pada hari tersebut, maka anda boleh meminjam mainan secara percuma untuk tempoh 2 minggu. Ini satu galakan untuk mereka yang bertugas. ...


Idea Toy Library ini sangat menarik dan mungkin boleh di praktikkan di tempat anda......

Halim
Lincoln
8 Dec 2007

Wednesday, November 28, 2007

Keindahan di Lake Tekapo


Pemandangan di Lake Tekapo
Lake Tekapo adalah destinasi pertama yang saya lawati semenjak saya tiba di Christchurch pada 1 September 2007. Keindahan semulajadi anugerah tuhan di Lake Tekapo telah mengesahkan cerita-cerita mengenai keindahan di New Zealand yang saya dengar sebelum saya sampai ke sini.

Perjalanan dari rumah saya di Lincoln mengambil masa kira-kira 4 jam untuk sampai di Lake Tekapo. Sepanjang perjalanan sejauh 330 km menuju ke Lake Tekapo anda akan dapat menikmati permandangan gunung-ganang yang bersalji yang begitu mempesonakan.

Kami pergi empat keluarga dan menginap semalam di Lake Tekapo. Berhampiran Lake Tekapo kami juga melawati Lake Pukaki yang juga sangat cantik pemandanganya.

Saya mencadangkan tempat ini sebagai salah satu destinasi yang mesti anda lawati jika berkunjung ke New Zealand.

Halim
Lincoln
28 Nov 2007
12.20 pm

Saturday, October 13, 2007

Sembahyang Raya di Hagley Park , Christchurch NZ


Ini adalah suasana di pagi Syawal sebelum umat Islam di sekitar Bandar Christchurh menunaikan solat sunat aidil fitri di Hagley Park, Christchurch New Zealand.

Dianggarkan lebih kurang 800 umat Islam di bandar Christchurch berkumpul di Hagley Park untuk bertakbir dan sembahyang sunat Hari Raya.

Rakyat Malaysia yang bersembahyang raya di sini kelihatan segak bergaya dengan berpakaian Baju Melayu lengkap bersamping. Gema Takbir Raya di Hagley Park menarik perhatian Mat Salleh yang berjogging di kawasan tersebut. Begitulah indah dan hebatnya Agama Islam yang terus bersinar di tengah-tengah Bandar Christchurch, New Zealand.
Akhir sekali, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin pada keluarga tercinta, rakan-rakan dan sahabat handai di Malaysia.
Halim
Lincoln
1 Syawal 1428

Monday, October 8, 2007

Hari Pertama di Meadow Mushrooms

Bunga Daffodil sudah semakin berkurangan kerana musim spring dah nak berakhir. Ini bermakna kerjaya memetik bunga juga akan berakhir. Namun begitu, hidup ini perlu diteruskan. Syukur alhamdulillah, saya telah dapat bekerja di Syarikat Meadow Mushrooms iaitu antara syarikat pengeluar cendawan yang terbesar di New Zealand.
Hari ini 7 Oktober 2007, adalah hari pertama saya bekerja di Meadow Mushrooms. Masuk kerja pukul 7 pm hingga pukul 3.00 am. Hari ini juga merupakan pengalaman pertama berbuka puasa di tempat kerja.
Kerja di sini lebih stabil berbanding kerja petik bunga. Pendapatan lebih tetap dan lebih lumayan. Kerja yang saya lakukan adalah menimbang berat cendawan dan kerja-kerja mengangkat serta menyusun kotak -kotak cendawan.
Ini lah pertama kali dalam sejarah hidup saya kerja di kilang yang saya tak pernah terfikir akan melakukan kerja ini sepuluh tahun yang lalu.

Monday, October 1, 2007

Bermain Catur Di Dataran Christchurch


Salah satu aktiviti yang sering menjadi tarikan pelancong yang melalui dataran Christchurh ini ialah permainan Catur Gergasi. Baru-baru ini saya telah berpeluang beraksi di sini dengan di saksikan oleh orang ramai yang berminat dengan permainan catur. Peluang untuk bermain di sini memang lama saya nantikan untuk melepaskan rindu bermain catur serta menguji keupayaan saya bermain dengan pemain catur di New Zealand.
Kebiasaannya siapa yang menang akan bertahan dan menunggu lawan yang seterusnya. Akhirnya setelah 30 minit menati, tiba lah giliran saya untuk masuk gelanggang. Dengan penuh bersemangat saya masuk dan menyusun buah-buah catur itu, seolah-olah mewakili negara Malaysia untuk membuktikan saya mampu untuk bersaing dengan pencatur disini.
Berkat kesabaran dan sedikit pengalaman yang ada, saya telah berjaya mengalahkan mat salleh tu dengan permainan yang menarik perhatian pengunjung di situ. Jika ada masa pasti saya akan datang lagi untuk beraksi....
Halim
1 Oktober 2007

Friday, September 28, 2007

Suasana Ramadhan di NZ






Sempena bulan ramadhan ni, saya akan berkongsi pengalaman pertama saya berpuasa di negara orang.



Umat Islam di New Zealand mula berpuasa sehari lewat dari Malaysia iaitu pada hari Jumaat 14 September 2007. ( dua minggu selepas kami tiba disini). Esok pula genaplah 2 minggu kami menjalani ibadah puasa di sini.



Sepanjang dua minggu ini..yang paling terasa kehilanganya ialah suasana sembahyang terawih dan kemeriahan pasar ramadhan di Malaysia. Setakat ni saya belum berpeluang lagi nak sembahyang terawih di Masjid An Nur yang terletak di bandar Christchurch kerana kedudukannya yang agak jauh dari rumah ( lebih kurang 30 km ).Biasanya saya hanya ke masjid An Nur untuk mengerjakan solat Jumaat.


Kemeriahan berbuka puasa lebih terasa pada hujung minggu, kerana waktu ni biasanya kami akan berbuka puasa dirumah rakan-rakan dari Malaysia secara bergilir-gilir. Masa ni sungguh seronok, selain dapat menikmati pelbagai juadah kami juga dapat berkumpul untuk sembahyang maghrib , isyak dan terawih secara berjemaah. Lepas terawih kami akan berborak sambil menikmati juadah ringan ( kira layan moreh...la). Waktu ni, terasa la "feel " berbuka puasa macam kat Malaysia.Pada hari Sabtu 6 Oktober insyallah kami pula akan menjemput mereka berbuka puasa di rumah kami.




Sesuatu yang pasti kami tetap terkenang dan merindui suasana berbuka puasa dengan ahli keluarga yang tersayang di Malaysia. Kemeriahan berbuka puasa bersama keluarga dengan masakan lauk kegemaran tetap tidak boleh dilupakan. Apapun, kami tetap bersyukur kerana diberi kekuatan untuk meneruskan Ibadah puasa..



Akhir kata, selamat menjalani ibadah puasa ...



Halim
28 Sept 2007 1.ooam

Wednesday, September 26, 2007

Pengalaman Memetik Bunga "Daffodil" di NZ















Kebiasaannya pada hari Sabtu atau Ahad, kira-kira jam 7.30 am waktu NZ ( Pukul 3.30am waktu malaysia ) ketika rakan-rakan di Malaysia sedang nenyak tidur, saya telah bersiap untuk pergi ke ladang bunga yang terletak 20 km dari rumah saya di Lincoln. Suasana ketika itu berkabus dan suhu yang sangat sejuk, mungkin inilah yang dirasai oleh penoreh getah yang terpaksa pergi menoreh pada awal pagi di Malaysia.

Perjalanan mengambil masa 30 minit untuk sampai di ladang tersebut. Setibanya di ladang lebih kurang jam 8.00am saya akan melapor diri di pejabat ladang untuk menulis nama pada buku kedatangan dan mengambil peralatan memetik bunga.

Peralatannya cuma sebilah pisau untuk memotong pangkal pokok bunga, sebuah baldi dan getah untuk mengikat tangkai bunga yang telah di potong. Selesai melapor diri dan mengambil peralatan, kami menuju ke kawasan ladang yang di benarkan untuk memetik bunga.

Walaupun istilah yang saya guna adalah "memetik bunga", tapi sebenarnya bukanlah kami memetiknya. Kami cuma memotong tangkai bunga yang masih belum kembang. Bunga ini ditanam di atas batas yang lurus, jadi kami akan berjalan di sepanjang batas untuk mencari bunga yang masih kuncup dan memotong tangkainya. ( Boleh kah tuan-tuan gambarkan...)

Biasanya dalam masa 3 jam, baru selesai menghabiskan satu baris batas bunga. Apabila dah selesai memotongnya, kami akan mengikat 10 tangkai dalam satu ikatan. Kemudian kami akan mengikat 5 ikatan yang setiap satunya ada sepulah tangkai kepada satu ikatan yang dikira satu bundle. ( Bermakna satu bundle = 5 ikatan = 50 tangkai bunga )

Dalam masa 3 jam biasanya saya dapat memetik 1,000 tangkai bunga bersamaan dengan 2o bundle. Banyakkan..! Tahukah anda setiap bundle di bayar $ 1.50. Bermakna jika anda berjaya memetik 20 bundle, anda akan dibayar $30.

Jika anda rajin, anda boleh mendapat $ 70 -$ 80 sehari....Kerja ni sungguh melekakan, sehingga kadang-kadang tak terasa masa dah berlalu 4 jam, kerana setiap kali anda memetik, anda terasa duit seolah-olah mengalir masuk ke poket anda....sebab tu kalau kerja yang di bayar mengikut "output basis" dapat memberi motivasi kepada pekerja untuk lebih produktif.

Sekian, untuk kali ini
Halim
Lincoln, NZ
26 sept 2007

2.00am

Ladang Bunga " Daffodil "


Ini adalah "Hadstock Farm" ladang bunga "Daffodil" tempat saya bekerja.

Salam Dari NZ

Catatan Pengalaman Di New Zealand adalah sebuah catatan yang akan menceritakan tentang perjalanan kehidupan dan pengalaman yang penulis perolehi di negara orang untuk di kongsi bersama teman-teman serta sahabat yang mengenali diri ini.

Di samping itu, blog ini juga di buat sebagai platform untuk saya berkarya dan memberi pandangan serta pendapat dalam apa jua isu yang saya rasa penting untuk di kongsikan.

Hari ini genap 26 hari saya berada di NZ..,terlalu pantas masa berlalu. Selama 26hari berada di negara orang banyak perkara dan pengalaman baru yang telah saya lalui...

Alhamdulillah, kami sekeluarga telah selamat sampai di NZ pada 1 Sept 2007. Perjalanan dari KL - Auckland mengambil masa 10 jam menaiki pesawat MAS, kemudian dari Auckland ke Christchurch mengambil masa 2 jam menaiki pesawat New Zealand Airlines.

Kami selamat tiba di lapangan terbang Christchurch pada pukul 4.00pm waktu NZ ( waktu M'sia jam 12pm ). Setibanya kami disana kami di jemput oleh pelajar Malaysia yang tinggal disana. Ada tiga buah kereta yang mengambil kami lapangan terbang Christurchdan dan mereka telah membawa kami sekeluarga di sebuah rumah salah seorang pelajar malaysia disana.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit dari Lapangan Terbang ke rumah salah seorang yang menjemput kami di Airport. Rumahnya terletak berhampiran Lincoln University.Sebaik kami tiba, kami di jamu dengan pelbagai juadah masakan Malaysia serta disusuli dengan majlis suai kenal dengan beberapa keluarga yang berasal dari Malaysia. Suasana begitu mesra seperti sudah lama berkenalan.

Selepas selesai makan dan solat maghrib, kami di bawa ke rumah sewa kami yang berdekatan dengan rumah yang kami kunjungi. Rumah sewa kami lengkap dengan perabot dan peralatan rumah. Sungguh lega rasanya apabila dapat berehat di rumah sendiri setelah penat melalui perjalanan yang jauh.

Maka bermula lah suasana hidup baru, yang tak pernah saya fikirkan sebelum ini.

Keesokkan harinya saya telah dibawa orang Abg Saadon untuk membeli barang keperluaan harian dan beliau membawa saya ke bandar Riccarton untuk membeli makanan halal seperti ayam dan daging yang dijual oleh peniaga dari Timur Tengah. Menurut beliau apa yang dilakukan kepada saya sudah menjadi satu tradisi apabila ada keluarga baru yang sampai di NZ.

Untuk memudahkan urusan harian seperti menghantar anak ke sekolah, saya telah membeli sebuah kereta Toyota Ipsum ( 7 seater ) di pasaran Auction dengan harga $ 2,600 NZ. ( Lebih kurang RM 6,500 ).

Setelah lima hari berada di sini, saya pun mendaftarkan dua orang anak saya di Lincoln Primary School. Anak yang sulung (Izzah)berumur 7 belajar dalam kelas Year 3 dan anak yang kedua ( Farhana ) 5 tahun berada dalam kelas Year 1. Alhamdullilah anak-anak boleh menerima perubahan ini dan nampaknya mereka dah boleh sesuaikan diri dengan suasana baru. Anak yang ketiga ( Aiman 3 tahun) di hantar belajar ke Tadika An Nur ( Tadika Islam ) pengetuanya Dr Maysoon ( Orang Palestin )

Bila semua anak-anak telah memulakan persekolahan mereka pada 10 september 2007, barulah lega rasanya kerana telah selesai satu tanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat pendidikan.

Buat masa nie si kecik Farzana yang akan menyambut ulang tahun pertama bulan depan tinggal dengan saya apabila uminya pergi belajar pada jam 9.00am - 3.00pm. Masa ini juga adalah waktu persekolahan di NZ. Jadi pada masa tersebut saya akan tinggal bersama Farzana berdua di rumah. Jika Farzana tidur saya akan melayari Internet untuk mendapatkan maklumat untuk menambahkan pengetahuan.

Setakat nie saya cuma berpeluang kerja pada hujung minggu, kebetulan sekarang musim spring maka dapat lah peluang bekerja sebagai pemetik bunga...di ladang bunga yang berpuluh ekar luasnya. Nama bunganya "Daffodil Flower" yang ditanam di Hadstock Farm yang terletak 20 km dari rumah saya di Lincoln University.

Rasanya..cukup setakat nie dulu yang dapat saya ceritakan pengalaman pertama saya di sini

Selamat berpuasa...


Halim

Lincoln NZ
26 Sept 2007
12.30pm