Saturday, October 13, 2007

Sembahyang Raya di Hagley Park , Christchurch NZ


Ini adalah suasana di pagi Syawal sebelum umat Islam di sekitar Bandar Christchurh menunaikan solat sunat aidil fitri di Hagley Park, Christchurch New Zealand.

Dianggarkan lebih kurang 800 umat Islam di bandar Christchurch berkumpul di Hagley Park untuk bertakbir dan sembahyang sunat Hari Raya.

Rakyat Malaysia yang bersembahyang raya di sini kelihatan segak bergaya dengan berpakaian Baju Melayu lengkap bersamping. Gema Takbir Raya di Hagley Park menarik perhatian Mat Salleh yang berjogging di kawasan tersebut. Begitulah indah dan hebatnya Agama Islam yang terus bersinar di tengah-tengah Bandar Christchurch, New Zealand.
Akhir sekali, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya & Maaf Zahir Batin pada keluarga tercinta, rakan-rakan dan sahabat handai di Malaysia.
Halim
Lincoln
1 Syawal 1428

Monday, October 8, 2007

Hari Pertama di Meadow Mushrooms

Bunga Daffodil sudah semakin berkurangan kerana musim spring dah nak berakhir. Ini bermakna kerjaya memetik bunga juga akan berakhir. Namun begitu, hidup ini perlu diteruskan. Syukur alhamdulillah, saya telah dapat bekerja di Syarikat Meadow Mushrooms iaitu antara syarikat pengeluar cendawan yang terbesar di New Zealand.
Hari ini 7 Oktober 2007, adalah hari pertama saya bekerja di Meadow Mushrooms. Masuk kerja pukul 7 pm hingga pukul 3.00 am. Hari ini juga merupakan pengalaman pertama berbuka puasa di tempat kerja.
Kerja di sini lebih stabil berbanding kerja petik bunga. Pendapatan lebih tetap dan lebih lumayan. Kerja yang saya lakukan adalah menimbang berat cendawan dan kerja-kerja mengangkat serta menyusun kotak -kotak cendawan.
Ini lah pertama kali dalam sejarah hidup saya kerja di kilang yang saya tak pernah terfikir akan melakukan kerja ini sepuluh tahun yang lalu.

Monday, October 1, 2007

Bermain Catur Di Dataran Christchurch


Salah satu aktiviti yang sering menjadi tarikan pelancong yang melalui dataran Christchurh ini ialah permainan Catur Gergasi. Baru-baru ini saya telah berpeluang beraksi di sini dengan di saksikan oleh orang ramai yang berminat dengan permainan catur. Peluang untuk bermain di sini memang lama saya nantikan untuk melepaskan rindu bermain catur serta menguji keupayaan saya bermain dengan pemain catur di New Zealand.
Kebiasaannya siapa yang menang akan bertahan dan menunggu lawan yang seterusnya. Akhirnya setelah 30 minit menati, tiba lah giliran saya untuk masuk gelanggang. Dengan penuh bersemangat saya masuk dan menyusun buah-buah catur itu, seolah-olah mewakili negara Malaysia untuk membuktikan saya mampu untuk bersaing dengan pencatur disini.
Berkat kesabaran dan sedikit pengalaman yang ada, saya telah berjaya mengalahkan mat salleh tu dengan permainan yang menarik perhatian pengunjung di situ. Jika ada masa pasti saya akan datang lagi untuk beraksi....
Halim
1 Oktober 2007